Perbandingan Antara Printing Offset, Digital Dan Inkjet
Teknologi semakin hari semakin berkembang seiring dengan peredaran zaman. Begitu juga dengan industri percetakan. Terdapat beberapa cara untuk mencetak pada zaman yang serba moden ini. Jadi, kali ini saya akan membuat perbandingan di antara printing offset, digital dan inkjet bagi memudahkan anda untuk memilih teknik percetakan mana yang anda patut gunakan.
Ketika mencetak, anda perlu mengambil peduli tentang beberapa perkara termasuklah kuantiti, skala atau saiz cetakan, harga dan masa yang akan diambil untuk cetakan siap.
Rumusan konklusi untuk artikel ini ialah:
- Printing Offset mempunyai kejituan warna yang tinggi dan pilihan terbaik sekiranya anda ingin mencetak dalam jumlah dan skala yang besar.
Printing Offset

Printing offset adalah proses percetakan tidak langsung. Ini bermakna plat percetakannya tidak digunakan secara langsung ke permukaan akhir (sebagai contoh, kertas).
Sebaliknya, rekabentuk ini dicetak di atas kertas melalui perantara silinder yang diliputi dengan getah yang terdapat di antara plat percetakan dan kertas. Cara ini adalah untuk meningkatkan kualiti percetakan. Proses percetakan ini menggunakan dakwat basah dan ia memerlukan proses pengeringan setelah proses percetakan selesai.
Percetakan offset ini digunakan untuk mencetak dalam skala atau kuantiti yang besar. Boleh dikatakan antara kesemua teknik percetakan, percetakan offset ini merupakan yang paling jimat dan mempunyai konsistensi yang sangat baik untuk mencetak dalam skala yang besar.
Selain itu, ia membolehkan percetakan laju secara berterusan dan tidak terganggu. Percetakan jenis ini juga akan memberikan hasil kualiti yang sangat tinggi. Ciri yang paling khas dari printing offset ini adalah penggunaan film dan plat cetak yang diperbuat daripada plat aluminium.
Akan tetapi, printing offset ini agak mahal berbanding teknik percetakan yang lain jika jumlah unit yang nak dicetak adalah sedikit. Hal ini adalah kerana ia memerlukan plat dan film yang berkos tinggi.
Kebiasaannya, satu plat akan mewakili satu bidang dokumen untuk satu warna dan juga jenis. Jadi, semakin banyak jenis dokumen dan warna yang akan digunakan, maka jumlah biayanya juga akan menjadi semakin besar. Tambahan pula, jenis kertas yang digunakan, ukuran kertas kepaduan warna, dan juga kualiti warna turut menjadi penyebab percetakan ini menjadi mahal. Tetapi dengan kuantiti yang banyak, anda akan memperoleh harga yang lebih berbaloi berbanding percetakan lain.
Namun, terdapat juga kebaikan dan keuntungan jika anda menggunakan percetakan offset ini terutamanya kualiti warna pada hasil cetakan akan bertahan lebih lama dan tidak cepat pudar berbanding dengan digital printing. Melalui proses percetakan ini, anda boleh menggunakan pelbagai jenis media kertas dan ini tidak dapat dilakukan oleh mesin-mesin yang lain.
Kebiasaannya, printing offset ini sesuai digunakan untuk kuantiti cetakan yang banyak iaitu cetakan yang melebihi 500 pcs. Cetakan jenis ini boleh menghasilkan cetakan sehingga 45 x 30 inci besar permukaannya.
Hasil warna cetakan bagi percetakan offset ini 99% tepat dengan rekabentuk asal. Warnanya juga akan tahan lebih lama berbanding dengan percetakan digital dan pilihan ideal untuk cetakan adalah dengan menggunakan warna pantone (CMYK).
Percetakan menggunakan offset ini kebiasaannya memerlukan waktu yang lebih lama kerana terdapat beberapa persediaan awal sebelum proses cetakan dijalankan seperti membuat plat, pembuatan film dan memasukkan dakwat pada mesin.
Ia juga perlu menjalankan proses test print yang memerlukan beberapa kertas sebelum cetakan sebenar dijalankan. Setelah selesai, cetakan pula memerlukan masa untuk proses pengeringan akibat penggunaan dakwat yang basah. Jadi, proses printing offset ini sememangnya memerlukan masa yang lebih panjang untuk selesai.
Printing Digital

Percetakan digital ini sangat berbeza dengan percetakan offset. Ini kerana, printing digital tidak menggunakan plat ataupun film sebagai media cetak untuk menghasilkan sesuatu percetakan. Sebaliknya, printing digital ini sudah menggunakan teknologi komputer.
Ia merupakan teknik percetakan dari gambar berasaskan digital yang kebiasaannya adalah file. Kemudian, ia boleh terus dicetak di pelbagai jenis media dengan cara yang lebih cepat. Percetakan digital ini menggunakan toner atau pada mesin yang lebih besar, ia menggunakan dakwat cair. Hasil cetakan dibuat dengan mencetak secara langsung ke atas media yang tersedia sama ada pada kertas ataupun plastik.
Bagi harganya pula, printing digital adalah jauh lebih murah berbanding penggunaan printing offset jika jumlah cetakan anda kecil. Selain itu, proses percetakan digital ini lebih cepat dari percetakan offset.
Dengan menggunakan printing digital, rekabentuk yang tersedia akan boleh terus dicetak sesuai dengan keinginan anda. Jaminan ketepatan warna pada hasil cetakan ditentukan dari kualiti rekabentuk yang telah dibuat. Format warna rekabentuk anda boleh dibuat dengan menggunakan warna RGB dan CMYK.
Proses percetakan digital ini tidak memerlukan waktu yang lama, namun ianya ditentukan oleh jumlah cetakan yang ingin dihasilkan sama ada banyak ataupun sedikit. Percetakan digital ini merupakan cara mencetak yang lebih selamat dan sesuai terhadap persekitaran. Ini adalah kerana proses percetakan ini paling jimat dalam penggunaaan kertas, dakwat dan pelengkap yang lainnya.
Percetakan digital ini paling sesuai untuk cetakan dalam kadar kuantiti yang sedikit dengan minimum 1 pcs. Ianya sangat menjimatkan jika dicetak dalam kuantiti yang sedikit. Kebiasaannya, percetakan digital ini mampu untuk mencetak dokumen sehingga saiz A3+.
Akan tetapi, kualiti cetakannya agak kurang berbanding dengan percetakan offset. Kebiasaannya, warnanya akan berbeza sedikit daripada rekabentuk yang asal. Warnanya juga kurang konsisten jika dicetak dalam skala yang besar. Harganya juga akan menjadi jauh lebih mahal apabila dicetak dalam skala yang besar.
Dakwat yang digunakan adalah jenis cair, dakwat toner yang dikeringkan dengan cara dipanaskan dan sebagainya bergantung kepada jenis mesin percetakan digitalnya. Perbezaan jenis dakwat yang digunakan ini akan menghasilkan reaksi yang berbeza pada kertas.
Printing Inkjet

Printing inkjet ini pula merupakan jenis teknik percetakan yang menggunakan dakwat cair. Percetakan jenis ini menggunakan teknologi drop on demand iaitu dengan teknik penyemburan titik-titik kecil dakwat pada kertas melalui muncung atau lubang paip yang sangat kecil.
Resolusi menggunakan percetakan inkjet ini dapat mencapai sehingga 5760 x 1440 dpi. Canon dan HP telah mengembangkan lagi teknologi printing inkjet ini dengan menggunakan suhu tinggi.
Suhu tinggi tersebut dihasilkan di dalam cartridge, ia akan membantu menekan dakwat menuju ke muncung sehingga proses pembentukan warna dan percetakan pada kertas berlaku. Oleh kerana ia menggunakan dakwat yang cair, hasil cetakan perlu menunggu beberapa saat untuk proses pengeringan.
Kualiti cetakan menggunakan printing jet ini agak memberangsangkan. Sekiranya anda mencetak foto menggunakan kertas foto yang sesuai, ianya akan menghasilkan kualiti yang tinggi. Selain itu, proses percetakan ini tidak menggunakan waktu yang lama untuk disiapkan. Harganya juga murah berbanding dengan percetakan digital.
Akan tetapi, printing jet ini juga mempunyai kekurangannya. Ini kerana percetakan jenis ini memerlukan penggantian dakwat dengan kerap kerana ia mempunyai cartridge yang lebih kecil. Dakwat yang digunakan juga akan mudah luntur sekiranya ia belum kering atau terkena air.